Thursday, 18 February 2016

Memperkasa Integriti Standard Halal

Artikel yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 18/06/2010

TIDAK semua pengguna Islam yakin penuh dengan logo halal walaupun ia dikeluarkan oleh pihak berkuasa, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ia berlaku akibat rentetan beberapa peristiwa salah laku peniaga dan pengusaha khususnya bukan Islam yang secara terang-terangan mahupun secara samar menyalahgunakan kelulusan halal yang telah diberikan.
Selain itu, pengguna juga terdedah dengan amalan memalsukan logo halal serta memperoleh sijil halal dari badan-badan atau syarikat yang tidak diiktiraf kerajaan.
Walaupun terdapat peningkatan terhadap isu halal ini, namun peratusan pengguna Islam yang sedar mengenai hak mereka dalam memperoleh produk halal amat rendah kerana masih terdapat peniaga yang terus mengambil kesempatan di atas kealpaan golongan ini.
Tetapi apa juga tanggapan pengguna Islam terhadap isu halal, pihak kerajaan melalui Jakim telah berusaha untuk meningkatkan lagi integriti pensijilan halal dengan memperkasakan standard halal MS1500:2004 yang telah dikemaskini menjadi MS1500:2009 dengan input-input terkini sesuai dengan perkembangan terkini teknologi pengeluaran makanan.
Pensijilan halal kini tidak tertumpu kepada pensijilan sesuatu produk, malah ia sekarang lebih komprehensif kerana merangkumi sistem yang lengkap dalam pemprosesan produk halal tersebut.
Walaupun demikian, MS1500:2009 tidak menjamin produk makanan tersebut halal sehingga ke meja pengguna kerana setelah dikeluarkan dari kilang melalui beberapa proses logistik yang pastinya akan bercampur baur dengan berbagai-bagai produk lain termasuk produk yang haram baik dalam bentuk fizikal, kimia dan juga biologikal.
Dengan lain perkataan, produk makanan halal ini terdedah kepada kontaminasi bahan-bahan haram apabila melalui proses-proses asas logistik iaitu pengangkutan, penggudangan dan peruncitan.
Untuk menangani masalah ini, satu lagi garis panduan telah dikeluarkan oleh Standards Malaysia yang menyentuh secara menyeluruh dalam memelihara integriti makanan halal apabila melalui proses logistik itu.
Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk NGO, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, sebuah jawatankuasa pemandu dan teknikal telah ditubuhkan dan dalam masa kurang setahun, sebanyak tiga siri standard logistik telah dihasilkan.
Set standard logistik halal ini telah diberikan kod MS2400:2010 oleh pihak SIRIM Bhd. dan ia adalah:-
n Halalan-Toyyiban Assurance Pipeline - Part 1: Management System Requirements for Transportation of Goods and/or Cargo Chain Services (Terusan Jaminan Halalan Toyyiban Bahagian 1: Keperluan Pengurusan Sistem untuk Pengangkutan Barangan dan/atau Perkhidmatan Rantaian Kargo)
n Halalan-Toyyiban Assurance Pipeline - Part 2: Management System Requirements for Warehousing and Related Activities (Terusan Jaminan Halalan Toyyiban Bahagian 2: Keperluan Pengurusan Sistem untuk Penggudangan dan Aktiviti yang berkaitan)
n Halalan-Toyyiban Assurance Pipeline - Part 3: Management System Requirements for Retailing (Terusan Jaminan Halalan Toyyiban Bahagian 3: Keperluan Pengurusan Sistem untuk Peruncitan)
Standard itu dibahagikan kepada tiga bahagian kerana setiap sektor melibatkan pemain logistik yang berbeza dan ia dilengkapi dengan ciri-ciri standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Satu forum konsultatif standard ini telah diadakan pada 11 Februari 2010 lalu untuk menerima maklum balas daripada pihak industri dan para pengamal standard halal. Banyak perkara telah dibangkitkan dan dibawa semula untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa pemandu.
Setelah semua aspek dan kelemahannya diperbaiki, ia telah dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Industri Standard mengenai Halal dan telah diluluskan. Kini ia dalam proses untuk kelulusan menteri dan digazetkan.
Sistem MS2400:2010 ini adalah salah satu program Halalan Toyiban yang dipelopori oleh Yayasan Ekonomi Sejagat yang memperoleh banyak input pengguna, khususnya dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan input daripada pihak penyedia perkhidmatan logistik iaitu Cold Chain Network, CCN, serta diselia oleh SIRIM QAS Sdn. Bhd.
Pelbagai input juga diperoleh daripada pihak seperti Jakim, Halal Industry Development Corporation dan pakar-pakar perunding serta pengamal standard.
MS2400:2010 ini akan diperkenalkan kepada umum dalam pameran pada MIHAS 23 Jun ini dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di gerai Yayasan Ekonomi Sejagat.
Adalah dijangkakan, program ini telah menarik minat pakar perunding dari Jerman iaitu TUV Rheinland yang mempunyai pejabat cawangannya di 160 buah negara. Standard ini juga dijangka akan menarik minat kebanyakan pemain industri di bidang perkhidmatan logistik dari dalam dan luar negara.
Tetapi apa yang lebih utama adalah peningkatan tahap keyakinan pengguna terhadap produk-produk halal sesuai dengan hasrat kerajaan melalui konsep dari ladang ke meja makan.
Penulis ialah ahli Jawatankuasa Industri Standard Halal, Standards Malaysia.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz40ZtYRlbg 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment